Wednesday, October 8, 2008

MELAYU


MELAYU

Melayu
manis gerak jasad
selari gerak bahasa.

Tutur beralas
tersirat dan tersurat
renungan hikmah penuh indera.

Melayu adalah Islam
Islam adalah Melayu
tidak ternafi.

Di dunia ini
Melayu di hujung timur sana
jauh ke timur jauh
menyembunyikan pengertian Melayu.

Akhir-akhir nanti
mungkinkah?
keris Melayu dipinjamkan
menghunus batalion-batalion
soldadu moden
kerana pedang-pedang Arab
hilang entah ke mana.

Namun awas!
soldadu moden kini
mula mencari
jalan-jalan ke timur jauh
mula membongkar rahsia
kemelayuan.

Berpakaianlah serba hitam
dengan keris di pinggang
gabungkanlah iman dan akal
kerana saudara-saudara di tujuh benua
sudah lama menanti.

Wednesday, July 30, 2008

TERAWANG-AWANG

Terawang-awang
berpijak bumi terasa panas
kupanjat langit terasa jauh

Pabila engkau membisikkan tanya masa depan
aku kian takut pada bebayang yang kumilik
yang cuba menarik ruhani ini ajak berbunuh
kerana mereka saling dendam-mendendam

Berkali-kali aku pernah jatuh
tika mereka mengharap aku bijak berlari
seperti kanak-kanak lain-cergas dan cerdas
sedang aku bersendikan yang lemah

Aku selamanya berdebat tentang diri ini
tentang perlunya langkah ini diperlajukan
seiring rentak jarum masa seboleh-boleh
yang tajam mencucuk dan mendarahkan fikir

Terkial-kial aku pada harapan
hadir pasti entah bila
hadir bermakna untuk esok-esok.

KE LANGIT TUJUH

Merayu mata mengajakku lena
berkali-kali
seluruh indera berpecah dua
fikir dan fikir
panjang sesaat mahu sehari
aku mabuk udara
gelisah kiri dan kanan
melontar sukma keluar dunia
terperangkap
sunyi-kabur-lemah
jalan itu perlu kutemu
entah esok,lusa
aku harus pergi
ke langit tujuh

AL-AHZAB

Berpadulah Al-Ahzab
membawa panji-panji hitam
yang terpendam
sejak dendam Badar
mengepung Munawarrah

Malam itu menangis
dengan kencang angin
dan lebatnya hujan
lampu-lampu pun terpadam
hingga Al-Ahzab
terperangkap dalam nur
antara hujan dan padang pasir

Carilah makna di balik hijab
tika Muhammad dan tiga ribu pedang
bersandarkan Salman Al-Farisi
dan bukanlah fikir halusnya
menjadikan kita di puncak
malah kitab hidayah adalah segala-galanya

Namun kini
Al-Ahzab muncul lagi
bersama-sama Al-Masih
dan panji-panji hitam yang hilang
api yang terpendam
masih tidak terpadam
mengepung di Munawarrah
mengepung di Mukarramah

Mini ProfilePMEmail PosterIntegrity Messenger IM
Top

KEBIASAAN DAN KERAHSIAAN

Terbatas nian
Yang biasa dengan rahsia
Tak bisa bertemu
Masing-masing sorok diri sendiri
Kekadang biasa
Kekadang menjadi rahsia

Dalam kebiasaan
Sedar tak sedar kita membongkar
Satu rahsia besar
Rahsia hasil sorokan sendiri

Itulah enigma
Rahsia dalam kebiasaan
Biasa dalam kerahsiaan

LUKISAN INI BUKAN SEBARANG

Keterpaksaan itu
membuatkan fikiran ini sesak
apalagi ditolak-tolak
dengan kemungkinan yang bukan.

Kemungkinan ini
sebenarnya datang dari luar
perlahan-lahan masuk dan meresap
ke dalam seluruh rongga
segera membuatkan aku lemah dan tak berdaya
kabur sebelah mata

Kekebalan yang kian kurang
berpunca dari keterpaksaan
keterpaksaan yang tiba-tiba muncul
dengan misi sendiri
cuba melukis sesuatu pada wajah asal
cuba mengubah puisi ciptaan ini

Aku bermula dengan kertas kosong
kini sudah kulukis seluruh kertas
tinggal kupamerkan di ruang awam
bukti lukisan ini bukan sebarang..

MAINAN BARU

Si Boboy tu menangis
menghempaskan-hempaskan badan
teresak-esak,berteriak-teriak

Kelmarin dia dapat mainan baru
cantik,merah dan mahal
kereta kecil idaman
berbunyi bila punat ditekan
merdu,Ya!Semerdu suara perawan

Tapi Si Boboy pelupa
lepas main ditinggal begitu sahaja
cantik ,merah dan mahal
budak-budak mana yang tak suka
budak-budak mana yang tak tergila-gila

Sudahlah Boboy,berhenti menangis!
kereta kecil tu tak bertelinga
kalau ada,tentu dah ketemu tuannya

Kalaulah mempunyai hati
tentu tak membiarkan
tangan lain menyentuh mesra

Kalaulah mempunyai rasa
tentu mudah kau menjaganya

Sudahlah,
nanti kubelikan mainan baru
yang mempunyai hati
yang mempunyai rasa
(walau itu suatu yang mustahil....)

Mini ProfilePMEmail PosterIntegrity Messenger IM
Top

MENEMBUSI DIRI

Sinar mata nan indah
mengganggu hati
ku yang kesepian

Puisi nan menghilang
kauronakannya
menembusi diri

Aku yang asing dalam diri
mencari diriku
di sudut hati suara bergema

Aku yang hadir dalam mimpi
mencari dirimu
kau menjelmalah dalam duniaku

Padamu
dirimu yang kudamba
iramakanlah puisi semalam

Padamu
diriku yang merindu
seluruh ruang wajah kuterbayang.

Mini ProfilePMEmail PosterIntegrity Messenger IM
Top