Friday, May 28, 2010

MALAM BADI YANG KAUNAMAKAN


MALAM BADI YANG KAUNAMAKAN

Terasa mana seksa
tawaduk tanpa ragu adalah bahan biru
tempat pijakkan di mana kauesakkan

Seksa ini bukanlah jalan hujung
malah langkah juang akibat hampir hilang
oleh sinis di celah yang manis

Hadir di sini
adalah api suci di malam badi
yang kaunamakan sedang itu bukan

Tangisan harus kau benci
agar lewat ini dimaknakan dengan hati
tentang cahaya,tentang masa

Dan ini bukan mimpi
hulurlah tangan pada diri yang kurang
lantas hujan petang takkan kau undang.

WAJAH


WAJAH

Terpapar wajah bersih
daripada wuduk penghapus
sedang diri non-kedustaan
lagi cahaya itu memancar ke setiap
mata-mata yang faham
fana antara wujud azali

Dia memasukkan dirinya
ke dalam cermin
perlu seluruh tubuh
kerna debu-debu ternyata kotor
dan pemilik wajah, Tuhanlah
atau dia akur berlindung di balik topeng hitam?

PERONA



PERONA

Di dapur,dalam dingin subuh
seorang ibu dengan lemah mata
anak-anak yang dihanyutkan mimpi
bersatu semula roh
pabila kesunyian dipecahkan

Sekeping dua roti dan secawan teh
lalu langkah mereka hanyalah ke sekolah
biar ibu di dapur
kerana masa bukan milik ibu
dan bukan pula milik ayah

Ibu pun bersama langkah kosong
benak memikir-mikir
deru bas yang meluru
risau mengingat-ingat
akan esok bertalikan apa kami

Hingga hilangnya suria
wajah ibu baru mengisi kami
letih lesu seminit di kerusi
sebentar ke dapur
anak-anak yang lapar

Dan malam pula ke tengah
sedang dalamnya anak-anak dan ilmu
menyusun ayat dalam diari sendiri
buat empunya keras tangan, ayah
ibu,perona selama abad ini

Thursday, February 18, 2010

HUJAN DI BULAN NOVEMBER


HUJAN DI BULAN NOVEMBER


Semalaman hujan turun
mencurah-curah
mengganggu resah
Nur hati
seorang lelaki

Di bangsal 
aku berseruling
keseorangan,kedinginan
mengalunkan
lagu kesayuan

November...
Apakah perasaanmu ?
pabila angin menderu
seakan bertamu
menguji tiang-tiang bangsalku ini.

Tika itu
adakah kau fikir
aku akan hanya bersujud,
melutut dan berpaut
di saat jiwaku pusing?

Ternyata telahmu mungkir
perjanjiannya dengan takdir
bahawa hidup ini adalah
suatu yang tidak kalah
pada garis yang tergelincir

Kau tidak akan mampu
menggugat aku
yang sedang menunggu
pulangnya kasihku
dari basah kuyup dan hati remuk

Dan ingatlah wahai November
Dengan payung ini
kusambut kepulangan
dengan satu kenangan
kubasuh kekotoran

Namun 
hadirmu kuterasa
kerna hujan bisa berbahasa
mengajar aku tentang kesyukuran
hidup berteduh di bangsal usang.