Saturday, April 7, 2018

MESIN MASA

Aku mengintai jalur sisi gelap
sambil menyelak helai tahun yang jatuh
bukan tanda sudah berada di puncak
apatah lagi melihat diri sendiri
masih mengutip sisa-sisa

Aku masih dalam kebingungan
adakah ruang ini sebenarnya ialah mesin masa?
yang melalui sebelum dilalui
yang terjadi sebelum terjadi
takdir

Pergi ke hari sebelum semalam
membuatkan aku sempat membawa pulang
segelas air yang dia sediakan
untuk kuberi minum
diri ini di masa hadapan

Mengembara masa membuatkan aku lupa
berapakah sebenarnya umurku
tika mula-mula melaluinya
tekan punat tahun dan tempat
hanyut di laluan

Dan akhirnya
aku ingin pulang
pada hari selepas semalam.....

Saturday, January 21, 2017

CINTA MAGIS TASIK SHAH ALAM

Di majlis puisi ini
kita bertemu 
menghulurkan mawar illusi
yang telah lama aku simpan
di balang air jernih
bukan paradoks

Kita bertemu
sambil mentaksirkan sebuah drama
yang Dia skripkan
sebuah kisah cinta baharu
bukan klise 

Cinta ini sejati
pabila kau dan aku menjadi satu
memuzikkan rintangan ini
memuzikkan katarsis

Sayang
inilah kisah cinta kita
yang padat dengan magis cinta

Saturday, May 7, 2016

ANAK-ANAK KAMI

Sepetang
anak-anak kami mendengar peluru muzik
tika melastik burung
atau bermain sorok-sorok
kerna seronok
jika burung itu adalah kapal terbang
yang menjatuhkan bom-bom kepuraan
kerna puas
jika batang tubuh terus disorok
dari buruan Sang Mata.

Sepetang
anak-anak kami mengutip periuk api
untuk tukaran sekerat roti
agar perut tidak lagi berdendang
senada seirama gendang perang.

Sahabat
kamu tidak berada di sini
tika kami lari dari rumah batu
ke khemah-khemah di padang tandus
untuk menanti dikau datang
menghulurkan sebiji kurma dan pedang
menghulurkan segelas air zam zam

Sahabat
setiap hari adalah hari-hari yang bukan mudah
untuk kami mencari air bersih
buat wuduk sempurna
untuk kami mencari hati bersih
buat iman dan doa.

Sahabatku...
Sepetang anak-anak kami masih di sini
mengejar mobil yang lalu
yang sarat senapang dan peluru
untuk siapa?

Monday, September 28, 2015

MASYRIK

Aku nara kosong
bertuankan dian
yang menerangi segenap kamar itu
tangkal bernama waktu
takkan kulepaskan

Kau
menjadi inspirasi pembawa panji
seperti aku si parajurit
menentang barang di peminggir
buat masa yang depan-depan

Sebenarnya aku takut
pada kismat diri
pabila soldadu seteru
ajak bersabung seligi
dunia rasa taram-temaram

Namun kau
biarpun di daksina mimpi
menjadikanku kudus daripada longlai
lantas kukanjar segala mereka
dengan silat sakti ini

Dahina itu tepat
bagiku menyatukan seribu yakin
yang kada itu juzuk tuhan
dan aku pun tanpa khayal
pulang ke masyrik

Tuesday, December 6, 2011

TAMAN PERKUBURAN HATI


Tiada beza
antara gelap dan terang
antara hidup dan mati
di taman perkuburan hati

Dengan surah yang panjang
dan tasbih di tangan
Azazil pun berlari
bersama seruling dan mawar hitam
kerna cahayanya
menewaskan cinta palsu
di celah-celah khuldi

Dengan wajah Yusuf
dan surah semalam
berenanglah pada kali berliku
lalu menjernihkan kelodak bertahun
buat minuman dan pembasuh lara
tika diri terlalu dahaga

Dengan hati Insyirah
dan tali cinta
berbicaralah tentang kekasih
dan permaidani terbentang
tanpa topeng ciptaan
dan jubah kefanaan.

YANG HILANG


Mata yang malas
bingkas
lampu hidup
pintu dikuak
lambat derap
ke kamar mandi

Dengan baju biasa
pantas ke kereta
selangkah-selangkah
kereta bergerak

Selangkah-selangkah jua
kaki ke pintu
dengan bisu mulut
ke meja
sempat sorot
pada sisa kerja

Kertas-kertas di meja itu
seakan mengejek
dan mengajak aku bergaduh
di mana padangnya
siapapun tidak tahu
kerna akupun belum habis berfikir

Ah! Mengapa pula loceng berbunyi
mengajak ke kelas
dan anak-anak yang berwarna-warni
hilangkah ilmu yang ku beri semalam?
atau akukah yang hilang?

Monday, October 3, 2011

SEMPADAN MERAH



Semalam aku bermimpi

berbicara dengan Rabbi mereka

dengan surat di tangan

kami mencipta perjanjian

dan aku pun menghulurkan pena emas

yang berdakwatkan darah hati

yang kusimpan sejak zaman-berzaman

warisan saudara


Lalu aku terjaga

lantas bersyahadah dan berlari

ke Aqsa

mendapatkan imam yang berserban

terus berbaiat dan berbaris

dengan pedang dan kuda jantan

kami berpadu

dengan tekad dan semangat

kami meluru

ke sempadan merah